Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan
sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat
Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik jika
kamu mengetahui." (Surah al-Jumu'ah, 62:10)
Hari Jumaat
merupakan Sayyidul Ayyam, iaitu penghulu segala hari. Pada hari Jumaat
ini dikurniakan dengan pelbagai keberkatan dan kelebihan buat umat Islam
khususnya. Istimewanya Hari Jumaat ini, sehinggakan Imam al-Ghazali
mengungkapkan hari tersebut sebagai hari raya bagi umat Islam kerana
akan kemuliaannya.
Syeikh Abdus Samad Falimbani
menghuraikan sebanyak 20 adab yang perlu diperhatikan oleh setiap muslim
untuk meraih keberkahan hari tersebut. Beliau menghuraikan kitab Imam
al-Ghazali yang berjudul Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah).
Dalam menghuraikan kitab amalan seharian bagi meraih taqwa zahir dan
batin, iaitu Bidayatul Hidayah, Imam al-Ghazali mengungkapkan hari
Jumaat sebagai:
"Ketahuilah olehmu bahawa hari Jumaat itu adalah
Hari Raya bagi orang Islam. Iaitu hari yang mulia yang telah dikhususkan
oleh Allah S.W.T kepada umat (Nabi) Muhammad s.a.w. Dan pada hari itu
ada satu saat yang mustajab doa. Tiada membetuli akan saat itu oleh
seseorang yang mukmin dengan doanya kecuali Allah akan memberi apa
sahaja yang ia minta. Maka bersiaplah engkau menghadapi Hari Jumaat itu
mulai dari petang hari Khamis lagi." (Bidayatul Hidayah, m/s 100)
Mungkin pada pandangan mata kita sebagai orang awam, hari Jumaat ini
adalah yang lain daripada hari lain, kerana semata-mata perlu untuk
menghadiri solat Jumaat dan mendengarkan khutbah. Terkadang, ada yang
datang pada waktu azan dilaungkan. Ada juga yang tiba 'tepat pada masa'
semasa akhir khutbah dan menunggu saat-saat solat Jumaat secara
berjemaah.
Kehadiran saya di kuliah kitab Hidayatus Salikin
mendengar kupasan daripada Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam sekitar tahun 2009
telah memberi perspektif baru, bahawa betapa sunnah dalam penghayatan
Hari Jumaat selama ini telah terabai buat sekian lama. Ya, kita sibuk
dengan kerja seharian, sekolah, mahupun ke kuliah universiti,
sehinggakan kita tidak merasakan betapa istimewanya pada hari tersebut.
Bahkan, pada hakikatnya, keseluruhan hari Jumaat tersebut (bermula
petang Khamis sehingga petang Jumaat) mengandungi keberkahan yang tiada
tandingnya. Puas saya mencari nota syarah kuliah tersebut, tetapi belum
menemuinya untuk dikongsi bersama. Tidak mampu berkongsi semua,
memadailah sekelumit sahaja...
Mari kita mulakan amalan Hari (dan malamnya) Jumaat sedikit demi sedikit:
1. Membaca Surah Kahfi
"Barangsiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya
diterangkan baginya daripada nur barang yang antara dua Jumaat itu."
(Hadith Riawat Hakim dan Baihaqi, m/s 122)
2. Membanyakkan Selawat
Dalam adab ke-15, Syeikh Abdus Samad Falimbani menyarankan untuk
berselawat atas Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w pada malam atau hari
Jumaat:
"Sayugianya engkau banyakkan membaca selawat dan salam
atas Nabi s.a.w pada hari Jumaat dan malamnya, iaitu terlebih daripada
hari yang lain kerana kelebihan membaca selawat atas Nabi s.a.w pada
hari Jumaat itu amat banyak. Dan sesetengah daripada kelebihan membaca
selawat itu sabda Nabi s.a.w:
'Barangsiapa membaca selawat atasku di
dalam hari Jumaat 80 kali nescaya mengampuni Allah Ta'ala baginya akan
dosa 80 tahun.' (Hadith Riwayat Daruqutni)"
Dalam kitab Fadhilat Selawat oleh Muhadith Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari al-Hasani disebutkan hadith:
2.1 Daripada Aus bin Aus r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Hari kamu yang paling afdal ialah hari Jumaat. Pada hari itu,
diciptakan (Nabi) Adam dan pada hari itu juga nyawanya dicabut. Pada
hari Jumaat juga, berlaku tiupan sangkakala dan Kiamat. Maka
perbanyakkanlah ucapan selawat ke atasku pada hari itu kerana selawat
kalian akan dihadapkan kepadaku.
Para sahabat bertanya,
'Bagaimanakah selawat kami akan dipersembahkan kepada kamu, sedangkan
kamu telah binasa? Mereka memaksudkan sebagai binasa dimamah tanah.'
Maka baginda s.a.w bersabda, 'Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi
daripada memakan jasad-jasad para nabi.' " (Hadith Riwayat Imam Ahmad,
Abu Daud, al-Nasaie dan ibnu Majah)
Hadith yang lebih kurang sama
daripada Abi Darda' juga dalam kitab tersebut. Imam Nawawi dalam kitab
al-Azkar juga menyebut kelebihan membanyakkan selawat atas baginda Nabi
s.a.w pada hari Jumaat. Syeikh Abdus Samad Falimbani juga menyebut agar
membanyakkan tasbih dan istighfar bermula pada petang Khamis, kerana
waktu tersebut sudah menyamai kelebihan pada Hari Jumaat.
Jika terdapat majlis zikir, selawat ataupun seumpamanya pada malam
Jumaat, hadirlah ke majlis tersebut. Insya-Allah mendapat berkat
daripada amalan-amalan tersebut. Alhamdulillah, saya diberikan nikmat
untuk menghadiri Majlis Ratib al-Attas di Madrasah al-Khairat, Kuching
secara rutin pada malam Jumaat.
Dalam majlis tersebut,
dibacakan surah Yaasiin, susunan wirid Ratib al-Attas, doa-doa, himpunan
selawat para ulama muktabar, Asma'ul Husna serta mengalunkan qosidah
dan maulid indah berzikir kepada Allah dan berselawat atas Sayyiduna
Nabi Muhammad s.a.w. Majlis tersebut dipimpin oleh mudir madrasah, Habib
Mohammad bin Alwi al-Attas. Bacaan tersebut terhimpun dalam kitab Kitab
'Pembuka Jalan Mendekatkan Diri kepada Allah' yang disusun oleh beliau.
2. Datang Awal ke Masjid dan Beriktikaf
Sabda Nabi Muhammad s.a.w:
"Barangsiapa pergi ke masjid kerana sembahyang Jumaat pada saat yang
pertama maka seolah-olah ia menyembelih korban seekor unta. Dan
barangsiapa pergi pada saat yang kedua maka seolah-olah ia menyembelih
korban seekor lembu. Dan barangsiapa pergi pada saat yang ketiga maka
seolah-olah ia menyembelih korban seekor kambing biri-biri yang
bertanduk. Dan barangsiapa pergi pada saat yang keempat seolah-olah ia
memberi hadiah seekor ayam. Dan barangsiapa pergi pada saat yang kelima
maka seolah-olah memberi hadiah satu telur. Maka apabila keluar imam
maka dilipat suratan dan diangkat akan qalam dan berhimpun segala
malaikat pada sisi mimbar pada hal mendengar mereka itu akan zikir
(khutbah)." (Hadith Mutafaq 'Alaih, m/s 120)
Saya terimbau,
bahawa Syeikh Fahmi Zam Zam mengatakan 'saat' yang disebut dalam kitab
Hidayatus Salikin bermaksud jam. Jika dihitung sejak subuh sehinggalah
waktu zuhur pada hari tersebut, maka jaraknya dalam lebih kurang 6 jam.
Barangsiapa yang datang awal untuk tujuan solat Jumaat, maka pahala
diperoleh berdasarkan kadar pahala korban yang dimaksudkan dalam hadith
tersebut. Syeikh Abdus Samad menghurai panjang tentang adab dan amalan
ketika di dalam masjid.
Persoalannya, masakini, mungkin atas
kesibukan memenuhi keperluan kerja, persekolahan atau aktiviti seharian
terkadang mendesak menyebabkan kita lewat untuk tiba di masjid. Dari
semasa ke semasa, marilah kita membaiki perancangan untuk Hari Jumaat
dengan lebih baik, dengan menghadirkan diri ke masjid seawal yang
mungkin.
3. Membaca 4 Surah 7 Kali Usai Solat Jumaat
Dalam adab ke-17 kitab Hidayatus Salikin, Syeikh Abdus Samad Falimbani mengusulkan amalan membaca surah:
al-Fatihah x 7 kali
al-Ikhlas x 7 kali
al-Falaq x 7 kali
an-Naas x 7 kali
sebelum berkata-kata. Saya juga telah mendengar amalan ini daripada
Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki dalam satu kuliah
pada tahun 2009 dahulu. Beliau mengatakan bahawa amalan tersebut
merupakan amalan para ulama sejak zaman-berzaman. Namun demikian,
seseorang harus langsung membaca surah al-Fatihah sehinggalah an-Naas
sebelum berkata-kata yang lain dan masih duduk sediakala daripada
tahiyat akhir.
Menurut Syeikh Abdus Samad Falimbani, amalan
tersebut 'memeliharakan ia daripada segala kejahatan daripada satu
Jumaat kepada Jumaat yang lainnya, dan lagi memeliharakan bagimu
daripada syaitan.'
4. Ada Saat Mustajab Doa Hari Jumaat
Pada hari Jumaat terdapat masa doa mustajab. Ada pendapat mengatakan
daripada Sayyidatina Fatimah az-Zahra' binti Rasulullah s.a.w, bahawa
menurut beliau doa mustajab pada hari Jumaat adalah pada waktu Asar
sehinggalah maghrib pada hari Jumaat tersebut. Berkata Syeikh Abdus
Samad Falimbani dalam Hidayatus Salikin beliau:
"Sayugia membanyakkan berdoa pada hari Jumaat itu pada beberapa waktu iaitu pada:
i. waktu terbit matahariii. waktu gelincir matahariiii. waktu masuk
matahariiv. waktu iqamatv. waktu khatib naik ke mimbarvi. ketika beriri
manusia kepada sembahyang,kerana segala waktu yang demikian itu sangat
diharap akan mustajab."
Allahu'alam, Allah Maha Mengetahui. Ini
adalah pendapat para arifin yang dibukakan mata hati mereka oleh-Nya.
Adalah tidak mustahil jika mereka dikurniakan kelebihan mengetahui
rahsia-rahsia-Nya seperti saat doa mustajab ini. Tidak layaklah
membandingkan diri kita orang awam mutakhir seperti kita ini ini
berbanding dengan orang-orang yang mempunyai darjat taqwa yang tinggi di
sisi Allah.
Sebagai kesimpulan, memadailah saya
mengungkapkan kata-kata Imam al-Ghazali tentang keistimewaan Hari Jumaat
dalam kitab Bidayatul Hidayah:
"... dan jadikanlah hari
ini dalam minggumu sebagai hari yang engkau khususkan bagi akhiratmu.
Mudah-mudahan ia menjadi kifarat (penebus) bagi hari-hari yang lain
dalam minggu itu."
Wallahu'alam. Mohon pencerahan dan teguran atas segala salah dan silap.
Daripada Habib Mohammad as-Seggaf:
NOTA: Hidayatus Salikin (Petunjuk Jalan Bagi Orang yang Takut Kepada
Allah Taala) merupakan sebuah kitab huraian daripada kitab Bidayatul
Hidayah (sebuah karangan ringkasan kepada kitab Ihya' Ulumuddin karangan
Imam Ghazali).Hidayatus Salikin ditulis oleh Syeikh Abdus Samad
al-Falimbani. Kitab ini ditulis oleh ulama ini bagi membolehkan
masyarakat Nusantara dapat memahami pemikiran Imam Ghazali secara lebih
dekat, sejak 200 tahun yang lampau. Kitab ini disunting dan
disempurnakan oleh Syeikh Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki.
NOTA: Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam merupakan seorang ulama daripada
Banjar, Kalimantan Indonesia. al-Banjari merupakan gelaran tempat
kelahiran beliau. Manakala an-Nadwi pula merupakan gelaran yang
diberikan oleh guru beliau, Syed Abul Hassan ali Nadwi (ulama besar
India) semasa menuntut di Naudatul Ulama, Lucknow, India. Manakala
gelaran al-Maliki merupakan gelaran yang diberikan oleh gurunya Syed
Muhammad Alawi al-Hasani (ulama besar Mekah, keturunan Nabi
Muhammadsallallahu alaihi wasallam) ketika menuntut di Makkah.